Tuesday, 12 March 2013

SEJARAH PERKEMBANGAN PENDIDIKAN

Selamat Datang!

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog Pariwartaku...Perkara yang akan dibentangkan dan dibincangkan disini adalah berkaitan nota kuliah mata pelajaran PDGS6101 serta isu-isu semasa yang berkaitan dengan Pentadbiran Pendidikan.

_________________________________________________________________________________

28 February 2013 - 6.00 petang.
Pensyarah :- Dr.Zuraidah
Bilik Kuliah :- BSEA203

Kuliah 1.

Pertemuan kali pertama ini, tidak banyak yang diperkatakan. Selain daripada sesi pengenalan antara pelajar dan pensyarah, Dr. Zuraidah menyentuh serba sedikit tentang perkembangan sejarah pendidikan di Malaysia. Seperti saya, saya percaya tidak ramai di kalangan anda yang mengetahui atau mengingati akan sejarah dasar pendidikan kita. Maka itu, saya mengambil kesempatan ini untuk bersama berkongsi tentang sejarah perkembangan dasar pendidikan Malaysia yang bermula dari 'Zaman Pramerdeka' hinggalah yang terkini iaitu 'Zaman Dasar Wawasan Negara'

 
1. Zaman Pramerdeka (sebelum 1957)
 
Semasa pentadbiran British, sekolah-sekolah di Tanah Melayu dipecahkan kepada empat aliran , iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil. Setiap sekolah ini mempunyai bahasa penghantarnya sendiri dan kurikulum yang berbeza di antara satu sama lain. Namun menjelang kemerdekaan, timbul kesedaran untuk mewujudkan hanya satu sistem persekolahan. Beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji sistem persekolahan pada masa itu dan hasil daripada kajian tersebut terhasillah laporan-laporan berikut:;-

a) Laporan Barnes (1951)

Laporan Barnes diketuai oleh L J Barnes yang ditugaskan untuk menyiasat dan memperbaiki pendidikan orang Melayu. Antara cadangan yang dikemukan dalam laporan ini ialah;

  •  Dua jenis sistem sekolah hendaklah ditubuhkan.
  •  Satu jenis sekolah menggunakan bahasa Melavu sebagai bahasa pengantar.
  • Pelajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil akan disediakan jika terdapat 15 orang murid atau lebih yang ingin mempelajari bahasa ibunda mereka.  
  • Bahasa Melayu wajib diajar di Sekolah Inggeris dan Bahasa lnggeris wajib diajar di Sekolah Melayu.
  • Sekolah dwibahasa diadakan dan bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
  • Sekolah-sekolah vernakular dalam bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil ditukarkan kepada Sekolah Kebangsaan. Sekolah-sekolah ini akan menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.


 b) Laporan Fenn-Wu 1951. 

Namun yang demikian, Laporan Barnes mendapat tentangan hebat oleh kaum Cina dan India yang merasakan mereka tersisih. Kumpulan ini kemudian telah membentuk Laporan  Fenn-Wu 1951 yang diketuai oleh Dr.Fenn (Setiausaha Kerja Bersekutu - Negara China) dan Profesor Dr. Wu Teh Yao yang bekerja dengan (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Ianya bertujuan untuk mengkaji dan menilai semula semula kewajaran Laporan Barnes 1950. Masyarakat Cina bandar ketika itu menganggap laporan tersebut bertujuan menghapuskan bahasa Cina dan kebudayaan Cina.
Antara cadangan yang terkandung dalam laporan ini ialah;
  • Sekolah vernakular iaitu Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Melayu dibenarkan beroperasi dan menggunakan tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil dan bahasa Kebangsaan juga diadakan.
  • Sekolah-sekolah aliran jenis kebangsaan (Sekolah Inggeris) dikekalkan.
  • Sekolah-sekolah vokasional terus dikembangkan untuk menampung keperluan tenaga pekerja mahir yang diperlukan untuk pembangunan negara Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia).
Pihak British kemudiannya telah menyerap pandangan dan kajian laporan ini dalam Ordinan Pelajaran 1952.

c) Ordinan Pelajaran 1952.

Merupakan laporan sebuah jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh kerajaan British di Tanah Melayu / atau Malaya untuk mengkaji Laporan Barnes (1950) dan Fenn-Wu (1951).
 
Laporan ini menetapkan: 
  • Sekolah Kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan. Sementara sekolah vernakular iaitu Sekolah Cina dan Sekolah Tamil tidak diterima sebagai sistem persekolahan kebangsaan.
  • Bahasa Cina dan Tamil cuma diajar sebagai bahasa ketiga.
* Walau bagaimanapun, Ordinan Pelajaran 1952 ini tidak menjadi kenyataan disebabkan masalah kewangan.

d) Laporan Razak (1956) / (Penyata Razak 1956)


Penyata Razak 1956 merupakan cadangan-cadangan yang dibuat oleh satu jawatankuasa oleh kerajaan Malaysia bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Malaysia. Jawatankuasa pelajaran ini ditubuhkan pada bulan September 1955 dan dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak Hussein.
Cadangan yang dikemukakan oleh Penyata Razak ini diluluskan oleh kerajaan persekutuan Tanah Melayu dan antara perkara penting yang dicadangkan adalah mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) serta menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa bahasa pengantar bagi SRK. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Tugas jawatankuasa ini ialah untuk;
Membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang bersesuaian dengan aspirasi menyatupadukan penduduk berbilang bangsa dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia juga bertujuan menjaga perkembangan bahasa dan kebudayaan kaum lain serta mengkaji Ordinan Pelajaran 1952 dan membuat pindaan yang perlu.

Dalam Penyata Razak terdapat 17 cadangan dengan mengambil kira matlamat akhirnya membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia. Di antara perkara yang diperkatakan ialah:
  • Semua sekolah di tanah air mempunyai sukatan yang sama
  • Bahasa Melayu dijadikan bahasa Kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama.
  • Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan sekolah menengah.
  • Bagi sekolah jenis kebangsaan, bahasa Inggeris, Cina dan Tamil menjadi bahasa pengantar.
  • Sekolah-sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
  • Penubuhan satu jenis sekolah sahaja yang terbuka kepada semua kaum.
  • Guru-guru sekolah rendah dan menengah adalah bekelayakan.
  • Sistem pendidikan sekolah menengah adalah Sekolah Menengah Rendah (SMR), Sekolah Menengah Atas (SMA) dan Pra Universiti.
  • Semua guru diletakkan di bawah satu perkhidmatan profesional dan Jemaah Nazir Persekutuan ditubuhkan.
2. Zaman Pasca Merdeka (1957-1970)
 
Sebaik mencapai kemerdekaan, usaha ditumpukan untuk mewujudkan satu sistem pelajaran kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar.
Dasar pendemokrasian pendidikan bermula pada tahun 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas dengan mengadakan pendidikan universal selama sembilan tahun apabila peperiksaan pemilihan masuk ke sekolah menengah dihapuskan pada tahun 1964. Penghapusan peperiksaan pemilihan ini menyebabkan peningkatan kadar penyertaan ke sekolah menengah. Kadar ini terus meningkat apabila terdapat perubahan dasar yang melanjutkan pendidikan universal kepada 11 tahun secara berperingkat mulai tahun 1992.

3. Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi (Universiti Terbuka Malaysia, 2008). Dalam tempoh ini, pendidikan diberikan keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua kaum.
Pada masa ini juga Sistem Pendidikan Kebangsaan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pada tahun 1990. Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga turut diberi tumpuan. Walau bagaimanapun, selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan. Mata pelajaran Sivik diperkenalkan bagi menyemai semangat jati diri di kalangan pelajar. Pendidikan Sains dan Teknikal diberi lebih penekanan pada peringkat menengah bagi menghasilkan tenaga kerja mahir.
Pada tahun 1979, semakan semula pelaksanaan dasar pendidikan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) telah menggariskan cadangan pendekatan dan strategi baru untuk memantapkan sistem pendidikan. Pada tahun 1980-an, peluang pendidikan untuk warganegara turut ditingkatkan dengan menambahkan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di luar bandar. Seterusnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada tahun 1988 bagi memperteguh hala tuju dan matlamat pendidikan negara. Falsafah ini menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

4. Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)

Dekad terakhir abad ke-20 menyaksikan perubahan yang pesat dalam pendidikan negara. Asas perundangan bagi pelaksanaan dasar pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan beberapa akta yang berkaitan dengan pendidikan, misalnya Akta Pendidikan 1996; Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996; Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan lain-lain.
Selain itu, banyak lagi perubahan berlaku dalam bidang pendidikan termasuk:
  1. Peningkatan akses dalam pendidikan khususnya peringkat tertiari;
  2. Perkembangan ICT dalam pendidikan termasuk penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1999;
  3. Menaiktarafkan kelayakan guru-guru daripada sijil kepada diploma;
  4. Menaiktarafkan Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); dan
  5. Menaiktarafkan Sekolah Menengah Vokasional kepada Sekolah Menengah Teknik.

5. Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-hingga sekarang)

Pada zaman ini Sistem Pendidikan Kebangsaan diperkemas sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat. Dengan mengambil kira pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21, penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan diperlihatkan dalam perundangan, dasar dan program utama, antaranya: Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002); Program Bimbingan dan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002); Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002). Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diperkenalkan pada tahun 2003; Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003); dan banyak lagi program-program pendidikan diperluas.



 

No comments:

Post a Comment