Seperti yang kita sedia maklum, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPP) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Najib Tun Razak pada 11 September 2012 dan telah diluluskan oleh kabinet pada 30 Januari 2013. Ianya diguna pakai sebagai pemangkin perubahan sistem pendidikan negara yang semakin mencabar.
Dalam satu sidang akhbar baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah menjelaskan bahawa pembentangan pelan PPP ini dirangka
menerusi jelajah dialog di seluruh negara dimana 7,039 syor diterima daripada 12,000
peserta yang mengambil bahagian.
Selain itu sebanyak 156 memorendum diterima dari pelbagai individu dan
pertubuhan. Beliau juga menyifatkan PPP adalah satu referendum bersejarah yang
melambangkan cita-cita dan harapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.
Dalam PPP ini telah menyatakan 6 ciri aspirasi
utama, 9 bidang keutamaan dan 11 anjakan. Tiga daripada aspirasi utama tersebut ialah
kemahiran berfikir, kemahiran memimpin dan kemahiran dwibahasa yang merupakan arah
baru sistem pendidikan kita. Manakala 3 lagi ciri aspirasi itu adalah penyataan semula aspirasi yang telah
dilaksanakan, iaitu pengetahuan, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
Dua dari 9 bidang keutamaan PPP merupakan tunjang kepada keenam-enam aspirasi itu terutamanya kemahiran berfikir dan
dwibahasa, bagi memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran serta meningkatkan
penguasaan pelbagai bahasa. Bidang-bidang keutamaan lain pula bertujuan
mengukuh dan menambah upaya sistem-sistem sokongan yang bermula dari guru-guru,
kualiti sekolah, kualiti kepimpinan sekolah, penglibatan ibubapa, sektor swasta
dan masyarakat kepada keupayaan penyampaian jentera Kementerian Pelajaran.
Diantara ciri-ciri utama yang
dinyata dalam 11 anjakan yang terkandung dalam PPP ini ialah :
1. Menyediakan kesamarataan akses
kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:
Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017.
Kementerian akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan
kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal. Selain itu Kementerian
akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain
pendidikan arus perdana, termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi
menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima
tahun sekarang dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun, berbanding
enam tahun. Peperiksaan UPSR pada 2016 akan mengandungi 80% soalan berbentuk
pemikiran aras tinggi.
2. Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa
Inggeris:
Kementerian akan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan
memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test
(CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard ditetapkan akan
mengikuti latihan intensif. Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan kepada murid
sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia pula, Kementerian
akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat
rendah, merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan
kurikulum ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan
mulai 2017. Kerajaan juga akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan
seperti bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda atau bahasa
antarabangsa yang lain.
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai:
Bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan murid dalam usaha membina
satu identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan
Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan
lebih banyak aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan
tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan
mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia.
Kementerian juga akan mengkaji membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas
yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar.
4. Meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai
profesion pilihan:
Kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan
mensasarkan hanya 30 peratus teratas dari kelompok pelajar cemerlang menyertai
profesion perguruan. Bagi guru-guru yang sudah ada dalam sistem, Kementerian
akan mengukuhkan pembangunan kerjaya mereka. Guru berprestasi tinggi berpeluang
menikmati kenaikan pangkat bermula daripada Gred DG41 sehingga DG54 dalam
tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun.
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:
Kementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar
berasaskan kompetensi serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian
pengetua dan guru besar mulai 2013. Kementerian juga akan menempatkan pengetua
atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan
miskin bandar.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus
berasaskan keperluan:
Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program
Penambahbaikan Sekolah (SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan
Sekolah (Si-Partners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah.
Jurulatih-jurulatih berkenaan akan memberikan bimbingan secara terus kepada
sekolah berprestasi rendah. Satu projek perintis akan dilaksanakan di Sabah dan
Kedah mulai Januari 2013 sementara perlaksanaan di seluruh negara bermula
Januari 2014.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran:
Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran
maya melalui perlaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah yang
dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2013. Dalam masa terdekat, semua
murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan
landasan untuk perlaksanaan pembelajaran secara interaktif.
8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian
Pelajaran:
Struktur organisasi Kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian
tidak bertindih dan lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD yang akan
terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah.
9. Memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor
swasta:
Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem
Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) untuk
membolehkan ibubapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Kementerian juga akan menambah bilangan Sekolah
Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dan turut melibatkan kumpulan alumni dan
pertubuhan bukan kerajaan sebagai penganjur.
10. Memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan:
Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan
keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak
rendah setiap tahun, Kementerian akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus
perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti
peningkatan kemahiran dan latihan guru.
11. Meningkatkan Ketelusan akauntabiliti awam:
Semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus
berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh
Kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif
pelan ini akan ditertbitkan utntuk tatapan umum mulai 2013.
No comments:
Post a Comment