Wednesday, 13 March 2013

TUGASAN 1 - APLIKASI TEORI PENGURUSAN

Soalan :- Anda sebagai Guru Besar yang mempunyai pengetahuan tentang teori-teori organisasi dan pengurusan pendidikan. Aplikasikan teori-teori berkenaan dalam pengurusan sekolah anda,
__________________________________________________________________________________


Sekolah merupakan institusi sosial yang memainkan peranan  penting dalam merubah kehidupan masyarakat. Sekolah adalah pengubah minda dan sekolah juga merupakan penentu kepada budaya dan pembangunan sesebuah negara. Kita seringkali juga mendengar orang memperkatakan tentang kewibawaan guru besar atau pengetua (kedua-dua dirujuk sebagai Guru Besar) di sekolah.Guru Besar merupakan seorang pentadbir, pengurus dan yang lebih besar  adalah seorang pemimpin. Bagi memimpin sesebuah organisasi, Guru Besar seharusnya mempunyai pengetahuan dan memahami  cara bagaimana untuk mengurus dan mentadbir organisasinya. Mereka juga perlu memahami teori-teori pengurusan dalam pendidikan agar dapat memajukan organisasinya dan mencapai matlamat yang ditetapkan serta dihargai oleh masyarakat setempat.

Peranan dan fungsi pengurus yang memimpin adalah mencetuskan usaha-usaha peningkatan kekesanan proses pengajaran-pembelajaran dengan sentiasa melakukan inovasi dan sekaligus menghargai inovasi tenaga kerja (Sokarno,1994). Melalui kata-kata bekas Pegawai Khas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia ini, dapat kita simpulkan bahawa seorang Guru Besar hendaklah mempunyai cita-cita dan sentiasa mencari idea-idea baru untuk meningkat proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih bekesan. Sekolah perlu kepada seorang pemimpin yang berjiwa besar, semangat dan cita-cita tinggi kerana kepemimpinan sekolah adalah begitu kompleks. Sebahagian besar inputnya adalah manusia. Manakala outputnya juga adalah manusia. Guru Besar terpaksa berhadapan dengan guru-guru pimpinannya dan pelajar-pelajar sebagai sasarannya. Di sekelilingnya adalah masyarakat yang sentiasa melihat pekembangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu, melalui anak-anaknya. Jadi, sebagai seorang Guru Besar terpaksa berhadapan dengan tiga dimensi, guru dan kakitangan sokongan, murid dan masyarakat.

Dalam pengurusan pendidikan, teori pengurusan yang sering digunapakai ialah teori pengurusan Henry Fayol dan Max Weber.

TEORI HENRI FAYOL: PRINSIP DAN FUNGSI PENGURUSAN

Henri Fayol (1841-1925) "Bapa Pemikiran Pengurusan".

Henri Fayol telah membezakan antara kemahiran teknikal dengan kemahiran pengurusan. Beliau juga telah mengenal pasti fungsi-fungsi pengurusan yang khusus dan telah mencadangkan empat belas prinsip pengurusan.
Fungsi-fungsi Pengurusan

Dalam fungsi pengurusan, Fayoltelah memecahkan fungsi-fungsi pengurusan tersebut kepada lima elemen iaitu;

1. Perancangan:(Planing)

Perancangan meliputi aktiviti-aktiviti berhubung dengan ramalan tindakan yang akan diambil pada masa hadapan dan penentuan arah haluan organisasi agar ia dapat berkembang dan mencapai matlamat-matlamatnya. Sebagai Guru Besar saya perlu mempunyai pelan perancangan yang meliputi visi,misi matlamat serta objektif yang ingin saya capai.
2. Penyusunan :(Organizing)
Fungsi ini berhubung dengan pembentukan struktur autoriti, tanggung-jawab dan tugas-tugas.

3. Pengarahan :(Directing)
Aktiviti ini berkaitan dengan pengarahan kakitangan bawahan, aspek-aspek komunikasi, perlakuan pengurusan, pemberian ganjaran dan penghukuman.

4. Penyelarasan : (Coordinating)
Fungsi penyelarasan berkaitan dengan aktiviti mengabungkan bahagian-bahagian untuk mewujudkan kerjasama bagi mencapai matlamat organisasi.

5. Pengawalan : (Controling)
Pengawalan ke atas perjalanan aktiviti organisasi itu penting agar ia tidak terpesong atau lari daripada dasar dan perancangan organisasi. Fungsi pengawalan ini juga meliputi penilaian pencapaian bahagian-bahagian dan organisasi keseluruhannya.


Empat belas prinsip pengurusan yang dapat memberikan panduan kepada Guru Besar tentang pengurusan sesebuah sekolah (organisasi), ialah;

1. Pembahagian kerja :
Pembahagian kerja dapat meningkatkan produktiviti kerana pekerja menjalankan tugas yang khusus dan dengan demikian mengurangkan beban dan tanggungjawab pekerja.
2. Autoriti :
Fayol mentafsirkan autoriti sebagai hak untuk memberi arahan dan sebagai kuasa untuk menarik seseorang supaya menurut arahan itu.
3. Disiplin :
Asas disiplin ialah menurut arahan dan prosedur serta menghormati per-setujuan yang telah dibuat di antara organisasi dan kakitangannya.
4. Satu perintah :
Fayol percaya bahawa seseorang pekerja mesti menerima arahan-arahan daripada seorang ketua sahaja. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan dan konflik di dalam penerimaan dan pemberian arahan.

5. Satu arahan :
Aktiviti yang mempunyai objektif yang sama hendaklah disatukan di dalam satu rancangan dan diurus oleh seorang ketua sahaja.
6. Mengutamakan kepentingan organisasi :
Kepentingan organisasi hendaklah diutamakan daripada kepentingan peribadi atau individu. Objektif-objektif organisasi adalah paling penting daripada objektif individu.
7. Pembayaran upah :
Pekerja mestilah dibayar dengan bayaran yang sewajarnya. Kerja-sama, sokongan dan ketaatan dapat diperolehi daripada pekerja yang diberi bayaran sewajar dengan perkhidmatan mereka.
8. Pemusatan :
Walaupun pengurus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas organisasi, kakitangan bawahan hendaklah juga diberi kuasa yang cukup untuk menjalankan tugas dengan efektif.

9. Rantai pemerintahan :
Rantai pemerintahan ini menunjukkan hierarki autoriti bermula dari peringkat atasan hingga ke peringkat bawahan di dalam struktur organisasi. Rantai autoriti ini juga menunjukkan arah aliran komunikasi formal di dalam organisasi.

10. Susunan : 

Fayol menggunakan prinsip susunan material dan sumber manusia yang mana material dan manusia itu hendaklah ditempatkan di tempat yang betul mengikut masa yang tepat.


11. Keseimbangan :
Pekerja hendaklah diberi layanan dan keadilan yang seimbang untuk melahirkan ketaatan mereka kepada organisasi.
12. Kestabilan personel :
Firma yang berjaya mempunyai kumpulan pengurus yang stabil. Pihak pengurusan atasan hendaklah mengimplementasikan amalan yang menggalakkan penglibatan kakitangan kepada organisasi.

13. Inisiatif :
Kakitangan hendaklah diberi kebebasan untuk memajukan dan mengim-plementasikan rancangan.
14. Kekitaan :
Keharmonian di kalangan kakitangan mewujudkan perpaduan dan keteguh-an organisasi.


Sebagai seorang Guru Besar, sudah semestinya mahu menjadi seorang Guru Besar yang berkesan. Seorang Guru Besar yang berkesan akan melahirkan guru, sekolah dan pelajar yang berkesan. Sifat pengetua yang menekankan kepada jenis kepemimpinan demokratik merupakan asas kepada keberkesanan seorang Guru Besar. Seorang Guru Besar yang mengutamakan corak kepimpinan yang demokratik akan disayangi dan mudah didampingi oleh guru. Dia mengambil kira dan turut berkongsi pengalaman serta idea dengan orang-orang di bawah kumpulannya. Sifat menghargai dan sentiasa membawa perbincangan dari idea-idea yang diketengahkan oleh kumpulannya adalah satu cara yang amat penting dalam menjalankan urusan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bukan sahaja dengan guru-guru tetapi seluruh kakitangan sokongan yang ada. Bagi orang-orang di bawah kawalannya, mereka akan merasa amat gembira kalau pemimpinnya menghargai idea mereka. Dengan ini akan lahirlah sikap mereka yang kuat dan rajin bekerja.


Sumber :- http://sribuansalokbatik.blogspot.com/2012/09/tiga-gaya-asas-kepimpinan.html
                http://www.scribd.com/doc/33154242/Apa-itu-pengurusan

Tuesday, 12 March 2013

KEPIMPINAN

Kuliah 2

Dalam kuliah kedua, Dr Zuraidah telah membincangkan mengenai maksud kepimpinan yang selama ini sering disalahtafsifkan. Beliau juga merungkaikan persoalan apa yang membezakan antara maksud Pemimpin, Pengurus dan Pentadbir.





Lazimnya, kita seringkali menyatakan bahawa, Pemimpin, Pengurus dan Pentadbir adalah sama. Namun pada hakikat yang sebenar, Pemimpin adalah berbeza nilainya berbanding Pengurus dan Pentadbir. 

Pemimpin adalah seseorang yang boleh mempengaruhi orang lain untuk melaksanakan tugasan atau sesuatu kerja dalam mencapai matlamat sesebuah organisasi. Ianya lebih kepada nilai karisma (tingkah laku) yang terdapat dalam diri seseorang individu itu untuk mempengaruhi orang lain. Dalam erti kata lain, Pemimpin adalah seorang yang mempunyai pengikut. Pengikut-pengikut ini pula bukanlah dipaksa tetapi sebaliknya adalah secara sukarela. Pemimpin juga melaksanakan tugasnya mengikut nilai untuk membimbing dan memberi teladan kepada pengikutnya.

Pengurus pula lebih kepada sifat autoriti (kuasa). Biasanya ia menjurus kepada kuasa individu yang menjawat jawatan formal seperti pengetua, guru besar atau penolong kanan di sekolah. Seorang pengurus dikatakan hanya mengurus, menyelia atau mengawal mengikut arahan serta perintah yang telah ditetapkan. setiap arahan mesti dipatuhi tanpa mengambil kira kesanggupan atau keupayaan pegawai untuk melaksanakan tugasan yang diberikan.

Pentadbir pula adalah individu yang melaksanakan tugas mengikut arahan dan senarai semak yang telah disediakan. Mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan setiap senarai semak ini dilaksanakan mengikut format yang ditetapkan oleh Pengetua atau Guru Besar.

 Contoh :- Dalam sebuah organisasi (sekolah), kita mengandaikan Pengetua sebagai Pemimpin. Pengurus pula disandang oleh para Penolong Kanan serta Ketua Mata Pelajaran. Manakala Pentadbir adalah semua guru-guru yang mengajar di sekolah berkenaan. (yang mentadbir murid-murid dalam kelas)
________________________________________________________________________________


DEFINISI KEPIMPINAN

Berikut adalah beberapa pendapat yang dikemukakan oleh para pengkaji mengenai definisi kepemimpinan;

1. George R. Terry
Kepemimpinan adalah hubungan yang ada dalam diri seseorang atau pemimpin, mempengaruhi orang lain untuk bekerja secara sadar dalam hubungan tugas untuk mencapai tujuan yang diinginkan.

2. Ordway Tead (1929)
Kepemimpinan sebagai perpaduan perangai yang memungkinkan seseorang mampu mendorong pihak lain menyelesaikan tugasnya.

   3. Rauch & Behling (1984)
   Kepemimpinan adalah proses mempengaruhi aktifitas-aktifitas sebuah kelompok yang diorganisasi ke arah  pencapaian tujuan.

   4. Daft 1999; Yulk 2006 (yang dikutip oleh Dr Mohammed Sani Ibrahim, Dr Jamalul Lail Abdul Wahab, Kepimpinan Pendidikan)
    Menyatakan bahawa kepimpinan itu sesuatu yang kompleks, berubah mengikut budaya dan matlamat organisasi; dan boleh didifinasikan sebagai sifat individu atau proses.
   5. Hemphill (1949)
   Menyatakan kepimpinan ialah tentang tingkah laku seseorang individu sewaktu terlibat dalam mengarah  aktiviti kumpulan.
    
  6. Stogdill (1950)
  Kepimpinan ialah satu proses mempengaruhi aktiviti kumpulan dalam usaha menetapkan dan seterusnya mencapai matlamat organisasi.

 7. Lowry (1962)
 Menyatakan kepimpinan sebagai kebolehan dalam mempengaruhi tindakan dan keputusan pengikut, dan seterusnya menggunakan kuasa ke atas proses membuat keputusan dalam kehidupan masyarakat.

 8. Burns (1978) (yang dikutip oleh Dr Mohammed Sani Ibrahim, Dr Jamalul Lail Abdul Wahab, Kepimpinan Pendidikan)
 Mendifinisikan Kepimpinan sebagai suatu proses mengembleng secara timbal balik oleh seseorang yang mempunyai motif dan nilai tertentu, pelbagai sumber ekonomi dan politik, dalam konteks persaingan dan konflik dalam usaha merealisasikan matlamat sama ada matlamat peribadi pemimpin ataupun matlamat bersama.

9. Kellerman (1984)
 Kepimpinan ialah suatu proses di mana seorang individu secara konsisten memberi impak terhadap sifat dan aktiviti kumpulan berbanding orang lain.

10. Jamaliah dan Norasimah (2005) (yang dikutip oleh Dr Mohammed Sani Ibrahim, Dr Jamalul Lail Abdul Wahab, Kepimpinan Pendidikan)
Melihat kepimpinan sebagai daya mempengaruhi tingkah laku seseorang hingga menyebabkan ia sanggup memberi kerjasama untuk mencapai sesuatu matlamat yang dipersetujui.

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2013 - 2025



Seperti yang kita sedia maklum, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPP) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Najib Tun Razak pada 11 September 2012 dan telah diluluskan oleh kabinet pada 30 Januari 2013. Ianya diguna pakai sebagai pemangkin perubahan sistem pendidikan negara yang semakin mencabar.

Dalam satu sidang akhbar baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah menjelaskan bahawa  pembentangan pelan PPP ini dirangka menerusi jelajah dialog di seluruh negara dimana 7,039 syor diterima daripada 12,000 peserta yang mengambil bahagian.

Selain itu sebanyak 156 memorendum diterima dari pelbagai individu dan pertubuhan. Beliau juga menyifatkan  PPP adalah satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan harapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

Dalam PPP ini telah menyatakan 6 ciri aspirasi utama, 9 bidang keutamaan dan 11 anjakan. Tiga daripada aspirasi utama tersebut ialah kemahiran berfikir, kemahiran memimpin dan kemahiran dwibahasa yang merupakan arah baru sistem pendidikan kita. Manakala  3 lagi ciri aspirasi itu adalah penyataan semula aspirasi yang telah dilaksanakan, iaitu pengetahuan, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Dua dari 9 bidang keutamaan PPP merupakan tunjang kepada keenam-enam aspirasi itu terutamanya kemahiran berfikir dan dwibahasa, bagi memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran serta meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa. Bidang-bidang keutamaan lain pula bertujuan mengukuh dan menambah upaya sistem-sistem sokongan yang bermula dari guru-guru, kualiti sekolah, kualiti kepimpinan sekolah, penglibatan ibubapa, sektor swasta dan masyarakat kepada keupayaan penyampaian jentera Kementerian Pelajaran.

Diantara ciri-ciri utama yang dinyata dalam 11 anjakan yang terkandung dalam PPP ini ialah :
  
1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:
Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal. Selain itu Kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana, termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun, berbanding enam tahun. Peperiksaan UPSR pada 2016 akan mengandungi 80% soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.

2. Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris:
Kementerian akan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard ditetapkan akan mengikuti latihan intensif. Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia pula, Kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.

3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai:
Bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan murid dalam usaha membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar.

4. Meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan:
Kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan mensasarkan hanya 30 peratus teratas dari kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion perguruan. Bagi guru-guru yang sudah ada dalam sistem, Kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya mereka. Guru berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada Gred DG41 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun.

5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:
Kementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai 2013. Kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar.

6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan:
Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (Si-Partners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Jurulatih-jurulatih berkenaan akan memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah. Satu projek perintis akan dilaksanakan di Sabah dan Kedah mulai Januari 2013 sementara perlaksanaan di seluruh negara bermula Januari 2014.

7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran:
Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui perlaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2013. Dalam masa terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk perlaksanaan pembelajaran secara interaktif.

8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran:
Struktur organisasi Kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih dan lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD yang akan terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah.

9. Memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta
Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) untuk membolehkan ibubapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Kementerian juga akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai penganjur.
  
10. Memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan:
Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun, Kementerian akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
  
11. Meningkatkan Ketelusan akauntabiliti awam:
Semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian.  Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif pelan ini akan ditertbitkan utntuk tatapan umum mulai 2013.